JOHOR BAHRU: JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat penyedia infrastruktur telekomunikasi, MSA Resources Sdn Bhd (MSAR) untuk menyediakan hubungan terus dari Sedenak Tech Park (STeP) ke Rangkaian Digital Lebuh Raya.
Skop kerjasama termasuk membina hubungan Pusat Data Saling Terhubung (DCI) di dalam dan luar STeP.
Rangkaian itu telah sedia untuk dihubungkan kepada Hab Singapura menerusi dwicapaian di Tambak Johor dan Link Kedua Tuas.
Infrastruktur gentian yang akan menghubungkan Johor ke sempadan utara dan selatan Semenanjung Malaysia dijangka siap menjelang suku keempat 2023.
Pembinaan talian tempatan ini bakal menyediakan saluran nilai tambah neutral yang tidak dimiliki syarikat pembawa dan juga memberikan keupayaan transmisi data yang lebih baik di seluruh negara, meliputi pusat-pusat data hiperskala yang utama.
Pengarah Hartanah & Infrastruktur JCorp dan Timbalan Pengerusi JLG, Datuk Akmal Ahmad, berkata menerusi usaha sama ini kedua-dua pihak bermatlamat untuk mengukuhkan kedudukan STeP sebagai pusat data serantau di Asia Tenggara.
Menurutnya, objektif MSAR di bawah MoU ini ialah untuk menyediakan hubungan dari STeP ke negara-negara
jiran, dan secara global, menerusi sistem kabel bawah laut baharu dan yang disambungkan terus ke Johor.
Beliau berkata, memanfaatkan kedudukan geografinya, Johor mempunyai kelebihan strategik yang menghubungkan lalu lintas ke timur dan barat menerusi kedua-dua pesisir pantai.
“Kami mengoptimumkan dan menyepadukan sepenuhnya hartanah yang dimajukan oleh JLG ke dalam rantaian nilai pusat data dengan memanfaatkan peluang yang timbul daripada pembinaan gentian gelap.
“Kerjasama kami dengan MSAR meluaskan keupayaan STeP yang sedia ada dengan melengkapkan hubungan dari sempadan ke sempadan, meningkatkan kepantasan dan pilihan rangkaian bagi pengendali.
“Langkah ini memenuhi wawasan perkhidmatan STeP untuk menjadi hab pusat data yang pesat membangun dan berkembang maju bagi Gerbang Selatan Malaysia, dengan menyediakan hubungan tahap kependaman rendah di antara hab-hab pusat data utama di rantau ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
JLG dan MSAR memeterai MoU itu sempena Forum Bandar Pintar Johor 2023 yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh,
Mengulas lanjut, Akmal berkata pembinaan talian tempatan ini juga dijangka membawa manfaat kepada
kawasan sekitar STeP, termasuk bandar Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang lebih luas meliputi 7,290 ekar.
Beliau berkata, rangka kerja hubungan yang disediakan di STeP akan memastikan kabel gentian kapasiti tinggi boleh diguna pakai oleh pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian masa depan di IBTEC, sebagai sebahagian daripada usahanya mencapai status Pusat Siber Malaysia Digital (MD).
Sementara itu, Pengarah Urusan MSAR, Saiful Husni, berkata kemunculan pusat-pusat data hiperskala baharu di Johor membuka peluang yang tepat pada masanya bagi syarikat itu, dan ia amat berbangga untuk dipilih oleh JLG untuk bekerjasama membina infrastruktur gentian berskala besar ini.
“STeP sedang berkembang pantas menjadi sebuah pembangunan bertaraf dunia yang memartabatkan Johor sebagai hab serantau baharu untuk pusat data. Kami teruja dengan potensi pembangunan STeP dan akan melabur RM66 juta untuk memenuhi keperluan hubungan digitalnya,” katanya.
Rangkaian Digital Lebuh Raya adalah sejajar dengan rancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang berupaya menyediakan kelajuan transmisi data sehingga 800 gigabait sesaat (Gbps) dan lebih tinggi, dan juga kapasiti rangkaian keseluruhan 33.6 terabait sesaat (Tbs) bagi setiap pasangan gentian.
Daripada rangkaian ini, kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Semenanjung Malaysia akan mempunyai akses kepada 4,400 Titik Saling Terhubung (POI) yang akan menyediakan liputan jalur lebar lebih luas.
Fasa 1 projek membabitkan pemasangan gentian dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru.
Source: BH online